FEBRUARI 2026

MUFTI SARAWAK AKHIRI PERKHIDMATAN 16 TAHUN DENGAN KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS PREMIER


KUCHING, 27 Februari 2026 – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menerima kunjungan hormat Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Datu Haji Kipli bin Haji Yassin di Kompleks Satria Pertiwi pagi pada Jumaat.

Beliau turut ditemani isterinya, Datin Hajah Zarina Binti Mohamed, dan turut hadir ialah anakanda Premier Sarawak, Puan Dayang Norjihan.

Dalam sidang media selepas pertemuan tersebut, Datu Haji Kipli menyifatkan kunjungan itu sebagai satu penghargaan bermakna sepanjang tempoh perkhidmatannya sempena persaraan beliau yang berkuat kuasa mulai esok (28 Februari 2026).

“Alhamdulillah, kunjungan hormat saya kepada Yang Amat Berhormat Premier Sarawak sangat bermakna sebagai tanda penghargaan kepada kepercayaan dan juga keyakinan yang diberikan oleh kepimpinan Sarawak terhadap perkhidmatan selama ini,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa antara perkara utama yang sentiasa menjadi perhatian institusi fatwa ialah soal keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak. 

“Walaupun fatwa itu bersifat khusus kepada orang Islam namun kita juga mengambil kira supaya apa yang kita keluarkan itu tidak akan menyentuh perasaan dan hati orang bukan Islam jadi dengan sendirinya hidup kita akan sentiasa harmoni,” ujarnya.

Menurut beliau, sepanjang 16 tahun berkhidmat sebagai Mufti Sarawak, pelbagai pengalaman bermakna diperoleh termasuk memahami keadaan masyarakat di Sarawak dan Malaysia secara amnya.

Katanya, kerjasama erat daripada kerajaan Sarawak telah membolehkan institusi fatwa berkembang secara lebih teratur dan sistematik, sekali gus memperluas peranan dan fungsinya selaras dengan perkembangan teknologi serta keterangkuman sosial.

Beliau turut menyatakan bahawa pendekatan berhikmah dalam menyampaikan pandangan dan bimbingan agama menjadi antara faktor penting dalam memastikan hubungan baik antara masyarakat Islam dan bukan Islam terus terpelihara.

Tambahnya, semangat bekerjasama dan hormat-menghormati perlu diteruskan demi memastikan kesatuan dan perpaduan ummah sentiasa dipelihara, sekali gus menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran Sarawak serta Malaysia secara keseluruhan.